Like us for get Notifications

Rogol ,Liwat anak bekas teman wanita ,subkontraktor dijatuhi hukuman penjara 18 tahun



Seorang subkontraktor hari ini dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang di Kuala Lumpur selepas didapati bersalah merogol dan meliwat anak perempuan bekas teman wanitanya yang berusia tujuh tahun 10 bulan, tahun lepas.

Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu ke atas Nazarul Rizman Mohd Tartip selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Nazarul Rizman, 31, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan bagi pertuduhan merogol manakala bagi pertuduhan meliwat, dia dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu secara berturut-turut bermula hari ini dan menolak permohonan peguam Muhammad Zain Azfar Jalaludin, yang mewakili tertuduh, untuk penangguhan pelaksanaan hukuman.

Dalam penghakimannya, Manira memutuskan kejadian rogol yang diceritakan mangsa kepada ibunya adalah diterima mengikut Seksyen 157 Akta Keterangan 1950 dengan mengambil kira usia muda mangsa dan orang yang paling dekat dengannya.

"Mangsa yang berusia muda sebegitu tidak akan ada peluang untuk mereka-reka cerita yang sentiasa konsisten, baik semasa memberikan keterangan di (ibu pejabat polis) Bukit Aman mahupun di mahkamah.

"Kenapa mangsa perlu menipu dan membuat cerita tentang pertuduhan yang serius ini terhadap tertuduh sedangkan nyata dan jelas dari keterangan tertuduh bahawa mangsa adalah rapat dengannya dan menganggap mangsa seperti anak sendiri," katanya.

Nazarul Rizman didakwa merogol dan meliwat kanak-kanak itu di rumah ibu mangsa di sebuah apartmen di Kuala Lumpur pada 8 pagi antara 3 Sept 2012 hingga 16 Sept 2012.

Bagi kesalahan merogol, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat manakala kesalahan meliwat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Sementara itu, ibu mangsa yang hadir pada prosiding hari ini untuk memberi Keterangan Impak Mangsa memberitahu mahkamah bahawa dia mengalami trauma dengan perkara yang terjadi ke atas anak perempuannya itu.

"Dia (anak perempuannya) terlalu trauma walaupun nampak ceria dari luarnya tetapi setiap kali terbaca kes seperti ini...dia akan menjadi murung dan amat sukar untuk saya atasi," katanya.

Seramai 11 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang prosiding perbicaraan yang bermula April 2013.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Fadzlin Abd Zawawi.

Sementara itu, sejurus selepas prosiding, tertuduh meraung dan menangis sambil memeluk ibunya.

- Bernama
Rogol ,Liwat anak bekas teman wanita ,subkontraktor dijatuhi hukuman penjara 18 tahun Rogol ,Liwat anak bekas teman wanita ,subkontraktor dijatuhi hukuman penjara 18 tahun Reviewed by Tular Lagi on 8:34 PM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.