Like us for get Notifications

Penampilan ayu Kak Mi




Bukan gimik atau mencari publisiti. Keputusan produser sensasi Raja Azmi Raja Sulaiman, 54, berhijab sepenuh­nya ­sejak Khamis lalu adalah atas gerak hati yang sudah lama dipendamkan.

Entah mengapa, kata wanita yang mesra disapa Kak Mi ini, hasrat hati untuk berhijrah membuak-buak sejak bulan lalu.

Imbasnya, atas ketelusan berkata-kata, kenyataan dikeluarkan itu bagai ­senjata makan tuan yang akhirnya mengheret Raja Azmi ke kancah kontroversi untuk kesekian kalinya.


Isteri kepada pemain bass kumpulan CRK, Eddie Ghazali itu akhirnya berdepan kecaman segenap sudut atas pendiriannya ketika itu.

Namun kata­nya siapa kita untuk menghakimi insan lain. Dengan kuasa Allah SWT, hatinya tersentuh dengan kesilapan itu dan mula terpanggil untuk berhijrah.

“Saya bersolat dan memohon doa agar Allah SWT memberi petunjuk. Akhir­nya Tuhan 'bercakap' dengan saya yakni mende­ngar suara hati saya untuk berhijab.

“Memang saya tak ­nafikan benda ini bertitik-tolak daripada kontroversi tudung yang berlaku bulan lalu. Sekitar hujung April saya mula terfikir mengapa tidak jika saya betul-betul bertudung lagi pun ia adalah tuntutan wajib ke atas setiap Muslimah,” katanya.

Mengimbas semula tindakannya mengambil keputusan penuh rahmat itu, Raja Azmi mengakui, pada awalnya ia tidak selancar gerak hatinya.

Kata­nya, sebelum membulatkan tekad di hati berulang kali juga dia bertanya pada diri sendiri sama ada dia sudah benar-benar bersedia.

“Alhamdulillah, akhirnya saya bersedia ­sepenuhnya pada Khamis lalu selepas beberapa ming­gu mencuba-cuba bertudung. Saya juga sempat mengadakan majlis doa selamat hari yang sama bagi memberkati penghijrahan ini.

“Sebagai orang yang baru belajar, saya berharap ­sangat agar Allah SWT menetapkan hati dan pendirian saya untuk kekal begini sampai saya mati,” katanya.

Ketika ditanya me­ngenai penampilannya selepas ini, dia selesa mengenakan imej kasual yang sopan terutama apabila menghadiri majlis umum.

Bagaimanapun, tambah Raja Azmi, penampilan baru itu tidak akan mengubah pembawaan diri dan kelantangannya menyuarakan ­pendapat mengenai sebarang isu seperti sebelum ini juga.

“Tak semestinya saya dah bertudung kena berubah jadi pendiam atau pemalu pula. Kalau ada apa-apa yang perlu saya bersuara, saya tetap mengeluarkan pendapat seperti biasa sebab itu adalah diri saya yang suka memberi komen secara jujur,” kata­nya.
Penampilan ayu Kak Mi Penampilan ayu Kak Mi Reviewed by Tular Lagi on 9:00 PM Rating: 5

1 comment:

Powered by Blogger.