Like us for get Notifications

SHARE : Isteri Bukan Penjaga Harta Anak Bawah Umur bila Suami Meninggal Dunia

"Abang, lantiklah isteri abang sebagai penjaga harta anak abang siap-siap...nanti bila abang dah tiada, isteri abang ini jugalah yang akan jaga dan besarkan anak-anak abang"

Kalau anda bukan peguam syarie...bukan hakim syarie...bukan pegawai bicara pusaka...bukan pekerja di Amanah Raya, anda mesti tidak pernah terpikir akan siapa yang akan menjaga dan mengurus harta anak-anak anda jika ditakdirkan anda meninggal dunia ketika usia anak-anak anda masih di bawah 18 tahun.

Atau suami secara spontan mengatakan isterilah yang akan jaga harta anak-anak anda kerana mereka yang akan jaga anak-anak anda nanti jika anda pergi dahulu. Jaga anak-anak mungkin YA, tetapi menjadi penjaga harta bagi anak bawah umur mungkin TIDAK dari sudut undang-undang syarak.



Sepintas perbualan dengan seorang ibu tunggal, Puan Imah, yang telah kematian suami kira-kira 10 tahun lepas. Suaminya seorang guru di sebuah sekolah di Pontian, Johor meninggal dunia kerana sakit ketika usia anak masih kecil. Tanpa sempat membuat apa-apa perancangan harta pusaka.

Oleh kerana Puan Imah seorang yang berkerjaya, biasa dengan urusan-urusan pejabat, puan Imah telah menguruskan segala urusan harta pusaka arwah suaminya dari permohonan surat kuasa mentadbir, pembayaran hutang-piutang arwah termasuk hutang kereta, hutang kredit kad dan hutang rumah sehingga lah pertukaran milik rumah dan kereta arwah atas nama waris diselesaikannya. Lebih setahun jugalah urusan pusaka itu baru selesai.

Namun puan Imah agak terkejut dengan perintah yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah yang mengarahkan harta pusaka yang berhak diterima oleh anak perempuan mereka yang merangkumi wang simpanan, KWSP, ASB, takaful dan sebagainya dari arwah suami diserahkan kepada Amanah Raya. Mahkamah tidak memberikan hak penjagaan harta anak tunggalnya yang ketika itu baru berusia 6 tahun, ke atasnya walaupun Puan Imah merupakan ibu kandung anak tersebut, yang melahirkan dan membesarkan, sihat akal dan tubuh badan, serta berkemampuan dari segi fizikal untuk menjaga anaknya tetapi kenapa mahkamah memutuskan dia tidak berhak menjaga harta pusaka yang sepatutnya diterima oleh anaknya?

Disebabkan keputusan mahkamah tersebut, selama 10 tahun ini Puan Imah membesarkan anaknya dengan duit gajinya. Nasib baik dia bekerja dan duit gajinya cukup-cukup untuk menampung keperluan asas sara hidup mereka 2 beranak. Walaubagaimanapun ada masa-masa tertentu pendapatannya juga tidak mencukupi untuk menampung kos perbelanjaan persekolahan dan perubatan anaknya dan dia perlu juga mengeluarkan wang anaknya yang dibawah jagaan Amanah Raya.

Jadi Puan Imah perlu pergi memohon di Amanah Raya yang berada di Johor Bahru untuk dikeluarkan sedikit dari wang anaknya yang disimpan dan dijaga di syarikat tersebut untuk menampung kos perbelanjaan anaknya. Dalam 2 minggu biasanya permohonan diluluskan dan Puan Imah perlu kembali ke Amanah Raya semula untuk mengambil perbelanjaan yang telah diluluskan tersebut yang mana jarak rumah dan syarikat tersebut terletak lebih kurang 80km. Nasib baik Puan Imah boleh memandu sendiri untuk ke Amanah Raya. Jika tidak, jenuh juga hendak menaiki pengangkutan awam ke Johor Bahru. Begitulah rutinnya saban tahun selama 10 tahun ini dan rutin ini terpaksa diteruskan sehingga anak itu cukup umur 18 tahun beberapa tahun lagi.

"Ketahuilah suami bahawa isteri tidak mendapat hak penjagaan harta anak-anak bawah umur secara automatik"

Kenapa isteri tidak mendapat hak penjagaan harta anak bawah umur secara terus? Merujuk kepada Enakmen Undang-undang Keluarga Islam, 'bapa adalah penjaga hakiki yang pertama dan utama bagi diri dan harta anaknya yang belum dewasa, dan apabila bapa telah mati, maka hak di sisi undang-undang bagi menjaga anaknya itu adalah turun kepada datuk lelaki di sebelah bapa (iaitu ayah kepada suami atau ayah mertua isteri). Jika datuk sudah meninggal, hak penjagaan berpindah kepada wasi yang dilantik oleh bapa kanak-kanak tadi.'

Jika bapa tidak meninggalkan wasiat pada waktu kematiannya dan ayahnya juga sudah meninggal, maka isteri tidak berhak dari sudut undang-undang syarak untuk menjaga harta anaknya yang masih bawah umur. Maka harta pusaka yang diterima oleh anak akan diserah kepada Amanah Raya untuk di jaga sehingga anak mencapai umur dewasa.

"Jangan letak anak bawah umur sebagai penama atau penerima hibah polisi takaful, KWSP, ASB dan Tabung Haji"

Begitu juga halnya bagi wang hasil polisi takaful, KWSP, ASB dan sebagainya yang mengamalkan konsep penamaan. Ramai orang meletakkan penama anak yang masih di bawah umur dengan anggapan sekiranya berlaku kematian pada si ayah (pemegang polisi/pencarum/pemilik harta), wang dari sumber tersebut akan dapat kepada anak untuk mereka survive  nanti. Namun berdasarkan undang-undang jika penama atau penerima hibah masih di bawah umur kompeten berkontrak (bawah 18 tahun), wang tersebut akan diserah kepada Amanah Raya bukannya diserah terus kepada anak yang masih bawah umur ataupun kepada isteri atau ibu anak tersebut. Boleh rujuk jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Jadi, bagaimana isteri hendaksurvive membesarkan anak-anak bila suami tiada nanti? semua sedia maklum, bahagian isteri dalam faraid suami adalah sebanyak 1/8 berbanding bahagian anak yang mengambil asobah (baki) faraid suami.

Jadi sebagai isteri dan juga ibu kepada anak-anak, dengan 1/8 bahagian pusaka itulah ditambah dengan pendapatan isteri (jika ada) digunakan secara berjimat oleh si isteri untuk menampung perbelanjaan sara hidup anak-anak, perbelanjaan sekolah anak-anak, perbelanjaan hari raya anak-anak, menampung kos perubatan anak-anak dan sebagainya. Belum dikira lagi sara hidup isteri itu sendiri lagi. Tidakkah suami kasihan akan isteri anda yang terus setia mengorbankan diri demi anak-anak anda bersendirian tanpa suami di sisi? Meletak tepi keinginannya untuk berhias dan bermewah-mewah demi mengutamakan keperluan anak-anak. Sehinggakan isteri sendiri tidak merasa 1/8 haknya dari pusaka suaminya. 

Oleh itu, suami jangan alpa, jangan leka dan jangan ambil mudah. Islam telah menggariskan keperluan berwasiat untuk melantik penjaga harta bagi anak yang masih bawah umur. Rujuk Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang jelas menyatakan bahawa 'Bapa adalah sentiasa mempunyai kuasa paling luas untuk membuat melalui wasiat apa-apa perkiraan yang difikirkannya baik sekali berhubung dengan penjagaan anak-anaknya yang masih kanak-kanak dan berhubung dengan hal memperlindungi kepentingan-kepentingan mereka.'

"Suami, lantiklah isteri sebagai penjaga harta anak-anak dalam wasiat"

Kepada suami, lantiklah isteri sebagai penjaga harta bagi anak-anak anda agar isteri dan anak-anak anda tidak terbeban jika ditakdirkan anda pergi dahulu ketika usia anak-anak masih kecil. Bila suami melantik isteri sebagai penjaga harta anak-anak di dalam wasiatnya, selepas kematian suami, bahagian pusaka yang diterima oleh anak-anak akan diserah kepada isteri untuk diguna secara berhemah sebagai pemegang amanah atau penjaga harta bagi manfaat anak-anak tersebut sehingga cukup umur. Dengan itu, anak-anak anda membesar dengan hasil titik peluh yang telah anda usahakan selama hayat anda.

Bukannya tidak percaya pada datuk tetapi jika datuk juga ditakdirkan pergi dahulu. Pakcik-makcik kepada anak-anak anda pula, walaupun menerima pusaka anda, tetapi tiada peruntukan undang-undang yang jelas mengatakan mereka wajib menanggung nafkah anak-anak anda sehingga mencapai umur dewasa. Bukannya Amanah Raya tidak bagus dalam menjaga harta anak-anak anda tetapi prosedur dan jarak tempat tinggal yang menjadi kekangan. Dan akhirnya isteri anda yang merupakan ibu kepada anak-anak anda juga yang akan berhempas pulas bekerja siang dan malam menampung nafkah membesarkan anak-anak anda sendirian.

Suami, fahamlah dan buatlah perancangan terbaik untuk isteri dan anak-anak anda.


Baca banyak lagi artikel di http://pakarpusakaislam.blogspot.my/p/artikel.html
SHARE : Isteri Bukan Penjaga Harta Anak Bawah Umur bila Suami Meninggal Dunia SHARE : Isteri Bukan Penjaga Harta Anak Bawah Umur bila Suami Meninggal Dunia Reviewed by Tular Lagi on 9:59 PM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.