Like us for get Notifications

Raja Ular Dihukum "






KOTA BHARU - Angkara miliki senapang buatan sendiri tanpa lesen sah, seorang penangkap ular dihukum penjara enam tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Lelaki yang popular dengan gelaran ‘raja ular’ itu dihukum selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim, Mohd Yusoff Yunus.

Mohd Hamddan Mahadi, 27, didakwa memiliki selaras senapang sepanjang 95 sentimeter di tempat letak kaki penumpang belakang dalam kereta jenis Proton Iswara, 21 Ogos lalu.

Tertuduh ketika itu bersama adiknya, tertuduh kedua, Mohamade Fareez Mahadi, 20, berada di hadapan kedai roti tempayan di Guchil 2, Kuala Krai. Adiknya itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Kedua-duanya ditahan dalam serbuan jam 4.30 pagi. Pada prosiding semalam, Mohd Hamddan turut dihukum penjara tiga tahun selepas mengaku salah memiliki 37 butir peluru hidup jenis .22 Long Rifle ‘T’, ketika serbuan itu.

Terdahulu, peguam bela, Karmazubi Shaary merayu hukuman tertuduh diringankan berikutan dia sudah mengaku bersalah.

“Tertuduh masih muda dan perlu menyara isteri dan dua anak yang kecil. Dia tidak miliki rekod jenayah lampau,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azahari bagaimanapun membantah hujahan itu dan mohon supaya hukuman berat dikenakan kepada tertuduh mengambil kira kes pemilikan senjata api yang semakin berleluasa.

“Mahkamah perlu utamakan kepentingan awam kerana senjata api boleh ancam nyawa orang lain. Ketika ditemui, satu daripada pelurunya sudah berada di dalam camber dan tembakan boleh dilepaskan pada bila-bila masa,” katanya.

Mohd Yusoff kemudian memutuskan kedua-dua hukuman itu dan mengarahkan tertuduh menjalani secara serentak berkuat kuasa daripada tarikh dia ditahan.Hukuman diputuskan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960. Tarikh 29 Disember ini ditetapkan sebutan semula bagi tertuduh kedua.
Raja Ular Dihukum " Raja Ular Dihukum " Reviewed by Mad Pikghie on 8:08 AM Rating: 5
Powered by Blogger.