Like us for get Notifications

Tsunami Kristian dalam pilihan raya ?



Tsunami Kristian dalam pilihan raya umum yang akan berlangsung lima tahun dari sekarang? Tidak mungkin, kerana itu hanya hantu Perkasa, kata penganalis politik terhadap amaran oleh kumpulan hak Melayu itu kepada kumpulan minoriti agama di negara ini.

Penganalisis berkata, jika pemerintah Barisan Nasional (BN) peka terhadap keperluan orang Kristian, mereka tidak perlu bimbang tentang apa-apa ancaman kepada survival Melayu dan agama Islam dalam negara ini.

Penganalisis politik, Khoo Kay Peng, berkata kebimbangan yang lebih besar adalah kesan daripada keputusan mahkamah terhadap isu nama Allah kerana ia menyentuh sensitiviti masyarakat Kristian, dan turut mendapat kutukan seluruh dunia.

"Kristian diamalkan oleh hanya 9% daripada jumlah penduduk Malaysia. Satu-satunya ancaman dalam pilihan raya akan datang adalah dari Sarawak dan Sabah. Jika kerajaan yang diterajui BN sensitif kepada keperluan Kristian, sepatutnya mereka tidak bimbang ancaman itu," katanya.

Sabtu lalu, Naib Presiden Perkasa, Zulkifli Noordin (gambar) menekankan tujuh ancaman kepada survival Melayu-Islam di Malaysia dan memberi amaran bahawa dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, ia boleh berubah menjadi "tsunami Kristian" jika ancaman ini tidak ditangani dengan serius.

Beliau juga menyenaraikan ancaman terhadap umat Islam datang daripada Pakatan Rakyat, Singapura, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan liberal Melayu.

Zulkifli berkata, langkah yang diambil oleh orang Kristian untuk mengheret isu Allah ke mahkamah adalah provokatif dan menghina umat Islam.

Saintis politik, Dr Jayum A Jawan daripada Universiti Putra Malaysia juga menolak amaran Zulkifli dengan berkata, pemimpin Perkasa itu hanya mencari hantu.

"Saya tidak fikir sesiapa yang cuba untuk menukar sesiapa, ini adalah tentang iman dan kepercayaan, sama ada memeluk Islam atau memeluk Kristian, tidak ada penukaran agama berlaku.

"Mereka yang membuat tuduhan dan menyebarkan pandangan sebegini atas sebab yang diketahui oleh mereka saja," katanya.

Penganalisis politik Universiti Malaysia Sarawak, Dr Arnold Puyok juga bersetuju dan berkata: "Jika ada apa-apa ancaman Kritianisasi, Perkasa mesti buktikan dakwaan itu.

"Mereka bermain dengan api apabila bercakap mengenai perkara itu dan pihak berkuasa mesti menghalang mereka daripada berbuat demikian atas nama keselamatan negara dan harmoni," katanya.

Khoo berkata, masyarakat sivil dan cendekiawan Islam perlu menegur Zulkilfi dan melahirkan kekesalan kepada andaian yang tidak berasas itu.

Bagaimanapun, katanya, tidak ada keperluan untuk Perdana Menteri menyertai pergaduhan itu, sambil berkata: "Adalah lebih baik untuk PM menjauhkan diri daripada orang seperti Zulkifli Noordin.”

Jayum setuju dengan cara yang sama, dan berkata: "Meminta PM untuk mengekang Perkasa akan menjadikan mereka terkenal dan saya tidak fikir kita perlu menampakkan mereka sangat penting."

Bagaimanapun, Puyok berkata, Datuk Seri Najib Razak perlu bertindak segera dan berani, sekurang-kurangnya dengan mengingatkan Perkasa agar berhenti membuat dakwaan tidak berasas sebegitu.

"Ia kelihatan seperti Perkasa adalah lebih kuat daripada Pergerakan Global Untuk Kesederhanaan yang diasaskan Najib. Najib perlu menggunakan semua sokongan dan kuasa untuk menggalakkan apa yang diasaskannya itu,"katanya.

Tentang ketiadaan tindakan polis terhadap orang seperti Zulkifli yang membuat kenyataan sensitif serupa sebelum ini, Khoo berkata, di Malaysia, polis lebih rapat dengan rejim berkuasa daripada orang ramai.

"Jika rejim mengarahkan polis untuk bertindak terhadap pelaku ini ia berkemungkinan akan berbuat demikian.

"Tetapi adakah rejim meminta supaya tindakan diambil terhadap Zulkifli dan kenyataan berunsur hasutannya,” katanya.

Puyok kelihatan seperti mencurahkan minyak apabila berkata, ancaman sebenar kepada orang Islam adalah Perkasa yang cuba menanam rasa takut dalam kalangan orang Melayu mengenai kehilangan identiti kaum dan agama, sedangkan fakta sebenarnya tidak.

"Status Islam dan hak orang Melayu dilindungi melalui Perlembagaan Persekutuan, jadi apa ancaman sebenarnya yang dikatakan Perkasa itu," katanya.

Beliau menggesa polis bertindak terhadap Perkasa jika mendapati dakwaan mereka itu tidak benar.

Jayum yang bersetuju dengan cadangan itu berkata, tuduhan Perkasa bertentangan dengan usaha Perdana Menteri untuk memupuk perpaduan.

"Orang Melayu, Cina dan India mempunyai hubungan baik selama ini manakala apabila Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia, ia menjadikan masyarakat lebih majmuk, ini adalah fakta sejarah yang tidak boleh dipertikaikan," katanya.

Beliau berkata, amat malang jika ada NGO yang mempunyai pandangan sempit dan beliau yakin kebanyakan orang Melayu tidak bersetuju dengan Perkasa.

"Perkasa adalah seperti 'katak di bawah tempurung', mereka kurang keyakinan. Melayu hari ini amat yakin, profesional dan ingin untuk mendekati orang lain.

"Perkasa pula ketinggalan zaman," kata Jayum.

Khoo berkata, walaupun Zulkifli boleh melaksanakan hak kebebasan bersuara beliau, dia tidak akan dapat merangsang masyarakat untuk berfikir sepertinya.

"Percakapan beliau hanya akan berkesan kepada usaha perpaduan jika Umno dan presidennya menyokong Zulkifli.

"Jika Umno menyokong pencalonannya sekali lagi pada PRU14, maka Umno akan kehilangan sokongan kumpulan sederhana," katanya.

Khoo dan Puyok mencadangkan supaya media tidak memberi ruang kepada Perkasa.

"Daripada menonjolkan semua apa yang Perkasa kata, media sepatutnya memberikan lebih tumpuan kepada usaha oleh badan bukan kerajaan atau pihak lain untuk memupuk perpaduan dan kenegaraan di kalangan rakyat Malaysia.

"Saya tidak mencadangkan media agar melenyapkan terus berita Perkasa tetapi mereka perlu lebih bijak dalam membuat liputan," katanya.

Khoo berkata, media perlu berhenti membuat laporan karut.

"Sidang redaksi mereka sepatutnya mengecam kenyataan seperti itu," katanya.

Jayum menyokong cadangan pemimpin politik Sarawak yang memberikan amaran agar Perkasa jangan mengacau negeri itu.

"Mereka memberitahu Perkasa, ‘Jangan datang ke sini, anda tidak dikehendaki'. Saya fikir mesej untuk Perkasa sangat kuat dan jelas," katanya. - 11 Disember 2013.
Tsunami Kristian dalam pilihan raya ? Tsunami Kristian dalam pilihan raya ? Reviewed by Mad Pikghie on 8:14 AM Rating: 5
Powered by Blogger.