Like us for get Notifications

Zain, Rozita kuburkan kontroversi !



KETIKA melangkah masuk ke dalam dewan Setia City Convention Centre, Setia Alam, Shah Alam, Selangor mata seolah-olah terpaku dengan keindahan suasana yang dicetuskan oleh untaian bunga-bunga mawar putih yang dijalin kemas di setiap penjuru ruang serta meja santapan.

Pelamin yang asalnya dirancang berkonsepkan majlis dalam taman itu yang terpaksa diubah lokasinya ke kawasan tertutup masih mencetuskan ritma cinta manis berasaskan rona pastel pelamin rekaan Nas Great Creation pada malam pernikahan, 11 Disember lalu.

Sehari sebelum itu, majlis berinai berlangsung meriah dengan kehadiran keluarga dan teman rapat pasangan mempelai di Dewan N’Dah Shah Alam dalam suasana santai dan penuh adat.

Persandingan pelakon sensasi Rozita Che Wan, 40, dan Zain Saidin, 29, sememangnya dinanti-nantikan dan penutup tirai terbaik sepanjang tahun 2013.

Kuburkan kontroversi

Apapun, rentetan daripada kisah cinta yang bersulam pelbagai tangis, kontroversi, spekulasi dan penafian sepanjang tempoh dua tahun, penyatuan Zain dan Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta itu menamatkan semua cerita negatif.

“Saya harap selepas ini tidak akan wujud lagi sebarang gosip yang mengaitkan isteri saya dengan mana-mana lelaki.

“Tapi sekiranya masih ada lagi gosip yang mengaitkan namanya sampai melibatkan maruah dan nama baik keluarga kami, saya sebagai ketua keluarga akan tampil membela dan mempertahankan dia,” tegas Zain.



Kembali menenangkan keadaan, Che Ta yang duduk di sisi Zain mencelah. Tidak tertekan dengan pelbagai andaian dan tohmahan yang dilemparkan terhadap majlis perkahwinannya, dia kini bersedia kembali melayari bahtera rumah tangga.

“Syukur, Alhamdulillah saya akhirnya kembali bergelar isteri dan perjalanan sepanjang menuju detik ini memang mencabar tapi saya sudah tetapkan dalam fikiran untuk tidak mahu diganggu dengan cerita tidak enak,” jelasnya.

Sebelum pasangan itu mendirikan rumah tangga, pelbagai spekulasi membabitkan Che Ta dengan beberapa lelaki muda termasuk Shah Iskandar dan bintang Akademi Fantasia, Shahir Zawawi.

Sekiranya perkara yang membabitkan namanya masih muncul selepas ini, ulas Che Ta ringkas: “Tak baik bersangka buruk pada orang.”

Nikah

Pasangan itu telah dinikahkan oleh Ketua Pendaftar Nikah Negeri Selangor, Ustaz Aluwi Parman berwakilkan wali adik Rozita, Roshidi Che Wan dengan sekali lafaz tepat pukul 9.05 malam pada 11 Disember lalu.

Berlangsung di lokasi yang sama dengan majlis resepsi, Che Ta menerima wang hantaran berjumlah RM23,200 dan mas kahwin RM9,300 daripada Zain.

Pada majlis itu, pengantin lelaki menghantar sembilan dulang hantaran berisi tiga biji tas tangan, lima pasang kasut, manisan, 10 set wangian, empat pasang kain renda, set telefon pintar, senaskhah al-Quran dan sejadah, tepak sirih serta sekeping cek bernilai RM23,200.



Pihak pengantin perempuan pula membalas jumlah dulang hantaran sama berupa lima pasang kasut, lima helai kemeja-T, set barangan kulit, lima set wangian, lima helai baju Melayu, seutas gelang Pandora, sebentuk cincin, sebiji kek dan sirih junjung.

Zain dan Che Ta menyarung busana berona krim rekaan Man Kajang untuk majlis pernikahan manakala dua set busana berwarna ungu biji kundang dan off white masing-masing rekaan Rizman Ruzaini dan Bianco Mimosa pada majlis berinai.

Cita rasa tinggi

Mengenali Che Ta yang sering dianggap seorang wanita bercitarasa tinggi pernah membuahkan kesangsian dalam diri Zain pada mulanya, bagaimanapun telahan itu meleset apabila hubungan mereka semakin serius.

“Mula-mula dulu saya pun pernah fikir dia ada cita rasa tinggi dalam segala hal. Ya, perkara itu memang benar, tapi kalau dia mahukan sesuatu dia sendiri akan berusaha untuk mendapatkannya dan tidak membebankan saya.

“Apabila sudah kenal dia betul-betul, saya yakin dia bukan memandang pada kekayaan atau paras rupa. Itu hanya pandangan segelintir masyarakat yang skeptikal terhadap dia.

Atas alasan itu saya yakin untuk menjadikan dia isteri saya dan saya pun melamar dia,” ujar Zain yang bakal menjalani penggambaran drama bersiri Oh My English musim ketiga awal tahun hadapan.

Zain bagaimanapun tidak meletakkan sebarang syarat kepada isterinya baik daripada segi penampilan mahupun kerjaya lakonan dan pengacaraan.

“Saya tidak letak apa-apa syarat pada dia tapi sebagai suami saya akan menegur mana-mana bahagian yang nampak tidak elok dan akan minta dia berubah perlahan-lahan. Kami akan meneruskan kerjaya masing-masing selepas ini, kalau ada tawaran berlakon sekali-sekala tiada masalah.



“Sekarang sumber kewangan kami sudah ada dua jadi dia tidak perlu bekerja keras seperti dahulu. Che Ta suka bidang pengacaraan dan bisnes maka saya tidak akan halang,” tambah Zain.

Dengan spontan Che Ta mencelah: “Saya tidak kisah pun tak kerja sebab duit saya, duit saya. Duit Zain, duit saya juga.”

Sementara itu, Zain turut meluahkan rasa terharu bergelar bapa segera kepada dua orang cahaya mata Che Ta, Ammar Effendy, 17, dan Aniq Ezzra, 15.

“Saya memang rapat dengan mereka berdua. Ketika mula-mula mengenali mereka, Ammar ketika itu masih bersekolah tingkatan dua dan Aniq darjah enam.

“Memandangkan saya pun sukakan budak-budak jadi setiap kali jumpa mereka, saya akan cuba mencari minat dan kesukaan mereka untuk mendekatkan diri.

“Kebetulan Aniq gemarkan bola sepak dan Ammar suka tengok wayang, kami berkongsi minat yang sama,” jelasnya yang kini sudah bersedia untuk menimang cahaya mata bersama Che Ta andai ada rezeki, menurut sumber Kosmo.
Zain, Rozita kuburkan kontroversi ! Zain, Rozita kuburkan kontroversi ! Reviewed by Tular Lagi on 6:22 PM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.