Like us for get Notifications

'Mak ada kat dalam'






KUALA TERENGGANU - Ketangkasan anak dan jiran membantu dua warga emas yang terlantar di rumah berjaya menyelamatkan mereka daripada rentung dalam kebakaran di Kampung Ladang, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.25 malam itu, dua rumah yang berdekatan antara satu sama lain hangus sama sekali.

Seorang saksi, Mohd Ghazali Abdul Hamid, 43, berkata, dia dan dua rakannya berada di surau berhampiran tempat kejadian, namun kira-kira jam 11.30 malam, dia terdengar bunyi letupan dan melihat api menjulang tinggi dari arah rumah berkenaan.

“Saya dan rakan-rakan terus meluru ke tempat kejadian dan melihat ada seorang wanita berlari sambil menjerit ‘mak ada kat dalam’. Saya kemudian bertanya di mana dan wanita itu beritahu, ibunya berada dalam bilik tidur.

“Memandangkan api ketika itu sedang marak, kami cepat-cepat pecahkan dinding dari luar dan nampak dua warga emas atas katil. Kami terus tarik tilam dan bawa kedua-dua warga emas itu keluar,” katanya.

Ghazali berkata, dia bersyukur kerana warga emas terbabit, Alang Jaleha Zakaria, 67, dan Hasnah Ismail, 77, berjaya diselamatkan walaupun api marak terlalu cepat.

Difahamkan, kedua-dua warga emas itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah disebabkan sesak nafas.


Sangka bunyi mercun

Seorang lagi mangsa, Sanisah Osman, 46, berkata, ketika kejadian, dia dan suami berserta dua anak perempuannya masih belum tidur.

“Saya terdengar bunyi letupan, ingatkan ada orang main mercun, tapi kemudiannya saya tengok rumah jiran yang terbakar. Memandangkan rumah kami berdekatan, saya dan ahli keluarga segera menyelamatkan dokumen serta barangan berharga.

“Saya juga keluarkan tong gas yang ada banyak di rumah kerana saya berniaga katering. Saya bimbang kalau tidak keluarkan, perkara lebih buruk berlaku,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM negeri, Khairul Ariffin Che Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan pertama kira-kira jam 11.25 malam sebelum menghantar satu jentera dengan enam anggota dari Balai Bomba Jalan Kota ke lokasi.

“Sebaik sampai di tempat kejadian, kita menghantar bantuan tambahan dari Balai Bomba Kuala Terengganu iaitu tiga jentera, satu tangki air dengan kekuatan 20 anggota

“Kita juga dapatkan bantuan tambahan daripada Bomba Sukarela Seri Nerus dan Bomba Sukarela Losong Atap Zink dengan masing-masing menghantar satu jentera dan 20 anggota," katanya.

Menurutnya, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya jam 12.12 tengah malam dan punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.
'Mak ada kat dalam' 'Mak ada kat dalam' Reviewed by Tular Lagi on 7:56 AM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.