Like us for get Notifications

#MH17 | PESANAN UNTUK MUHRIZ MARZAIDI, ANAK PRAMUGARI MASTURA MUSTAFA !

PESANAN UNTUK ANAK PRAMUGARI MH17 MASTURA MUSTAFA

#MH17: PESANAN UNTUK MUHRIZ MARZAIDI, ANAK PRAMUGARI MASTURA MUSTAFA | Saya tidak sengaja menatap gambar ini. Membaca captionnya terus menitiskan air mata. Anak ini kehilangan ibunda tercinta. Saya tidak mengenalinya. Kepada sesiapa yang mengenali anak ini, mohon sampaikan pesanan saya ini.




“Sewaktu pakcik seusia adik atau mungkin lebih kecil. Pakcik telah kehilangan ibu seperti adik juga. Andai adik membaca pesanan ini, ini adalah perkara yang adik akan hadapi dan perkara yang boleh dilakukan.


1. Adik terpaksa menguruskan diri sendiri. Mengurus pakaian, bangun pagi sendiri, menyusun urusan sendiri. Tiada lagi orang yang sudi menggaru belakang adik kecuali ayahanda yang masih ada.


2. Adik mesti berhati-hati dalam tuturkata supaya tidak dibenci orang. Fikir dahulu sebelum berkata-kata. Sebaiknya, diam sahaja dan jawab apabila ditanya.


3. Mesti selalu membantu orang lain dan kawan-kawan tanpa mengharapkan balasan. Dengan membantu orang lain, hati kita akan puas dan gembira.


4. Banyakkan membaca buku. Buku adalah teman paling setia, Buku tidak pernah meninggalkan kita. Buku akan sentiasa bersedia menghiburkan hati adik di kala kesedihan.


5. Apabila teringatkan ibu, terus berdoa. Mohon keampunan untuknya. Insya Allah, adik akan bertemu dengan ibu di syurga.


6. Solat 5 waktu mesti jaga walaupun tidak disuruh. Solat akan menjauhkan adik dari perkara buruk.


7. Jauhi kawan-kawan yang jahat dan tidak baik. Kuatkan semangat walaupun kawan-kawan mengajak melakukan perkara yang tidak baik. Walaupun kawan tidak ada, adik masih ada buku sebagai peneman setia dan kawan soleh yang setia menanti.


8. Apabila teringatkan ibu, adik akan menangis. Menangislah, ia tidak salah. Selepas menangis, hati adik akan bertambah kuat, Jiwa adik akan bertambah kental.


9. Jangan sesekali ‘menjawab mulut’ dengan ayahanda atau orang yang lebih tua. Walaupun mereka ada kesilapan, diam itu lebih baik dan kita berbaik sangka. Masalah orang tua tidak sama dengan kita yang masih kecil.


10. Belajar bersungguh-sungguh hingga ke menara. Belajar tanpa henti dan terus berbakti. Tidak faham terus bertanya. Apabila bertanya, kita akan tahu sesuatu. Pakcik dulu pernah berkata di dalam kelas 5 Dahlia, “Cikgu, saya tidak faham semua.”


Andai adik membaca semua pesanan pakcik di atas. Mungkin kita boleh berkawan.


Yang benar,


Pakcik Ahmad Saifuddin Yusof
Perindu Ibunda 26 tahun.
#MH17 | PESANAN UNTUK MUHRIZ MARZAIDI, ANAK PRAMUGARI MASTURA MUSTAFA ! #MH17 | PESANAN UNTUK MUHRIZ MARZAIDI, ANAK PRAMUGARI MASTURA MUSTAFA ! Reviewed by Mad Pikghie on 8:01 PM Rating: 5
Powered by Blogger.