Like us for get Notifications

Umur Baru Setahun Sudah Empat Kali Jalani Pembedahan


Tumpat: Jika dibuang tiub pernafasannya, bayi berusia setahun ini kelihatan normal seperti bayi lain, malah gelagatnya yang sering tersenyum tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa dia sedang menderita sakit.
Namun, itu hanya pandangan luaran saja kerana hakikat sebenarnya, Siti Damia Farisya Saiful Zaid, 1, sedang menanggung pelbagai penyakit seperti masalah pernafasan kronik, jantung berlubang dan penyakit kulit.
Lebih menyedihkan, pergerakan anak bongsu daripada lima beradik itu terbatas kerana tangannya terpaksa dibedung oleh ibunya, Siti Sakinah Awang, 35, supaya dia tidak menarik tiub susu yang dimasukkan menerusi hidung.
Bercerita mengenai kesengsaraan anaknya itu, Siti Sakinah berkata, ketika dilahirkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), November tahun lalu, Siti Damia mengalami kesukaran bernafas yang menyebabkan dia ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital selama 45 hari.
“Perasaan saya sudah tidak enak kerana sebaik dia dilahirkan, saya langsung tidak menyentuhnya malah dia terus dihantar ke ICU. Ketika usia dua bulan, Siti Damia menjalani pembedahan pertama untuk membuka saluran pernafasan dan sejak itu dia berumah di HRPZ II lebih dua bulan lamanya.
“Kini pada usianya setahun, dia sudah menjalani empat pembedahan besar dan tiga daripadanya membabitkan pembukaan saluran pernafasan dan satu lagi adalah pembuangan injap bagi memudahkan bernafas.
“Melihat keadaannya begitu, siapa yang tidak sedih. Banyak ujian yang Siti Damia tanggung sedangkan mengikut perkembangan bayi normal lain, dia sepatutnya sudah mula belajar merangkak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sedar, di sini.
Menurutnya lagi, Siti Damia juga tidak dapat merasa makanan bayi daripada jenis pepejal mahupun cecair, sebaliknya hanya bergantung kepada susu khas yang diberikan pada setiap tiga jam.
Ada satu ketika, Siti Sakinah memberitahu dia dan suami, Saiful Zaid Yaacob, 45, pernah cuba memberikannya Nestum bayi, tetapi gagal ditelan disebabkan masih tidak tahu menelan makanan.
“Doktor ada beritahu yang Siti Damia boleh makan seperti bayi lain tetapi dia perlu menjalani satu lagi pembedahan bagi menebuk perutnya agar makanan dapat disalurkan terus ke usus.
“Kami takut mendengar pembedahan dan masih belum bersedia membenarkan pakar melakukannya lagi. Saya juga bimbang jika Siti Damia tidak mampu menanggung dan risiko lain termasuk jangkitan kuman.
“Sebab itu kami fikir, biarlah dia bergantung pada susu dulu,” katanya yang memaklumkan Siti Damia dibekalkan lebih 10 jenis ubat untuk memperkuatkan imunisasi tubuhnya supaya tidak mudah diserang demam.
Sekiranya Siti Damia demam, dia dan suaminya perlu berjaga malam kerana terpaksa menyedut kahak dengan mesin yang dibekal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain perlu jaga suhu badannya.
“Suami hanya bekerja sebagai pemungut besi buruk dengan pendapatan sekitar RM600 sebulan tidak mampu membeli mesin berkenaan, tetapi bersyukur apabila JKM membekalkannya tanpa sebarang syarat.
“JKM juga menyenaraikan Siti Damia sebagai penerima bantuan bulanan sebanyak RM300 sebulan yang didaftarkan di bawah orang kurang upaya (OKU). Kami gunakan wang itu untuk membeli susu, lampin pakai buang dan kos lain untuk anak,” katanya.
Bagi orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh berbuat demikian di akaun Bank Simpanan Nasional 03008-41-000113366 atas nama Siti Sakinah Awang - HMO
Umur Baru Setahun Sudah Empat Kali Jalani Pembedahan Umur Baru Setahun Sudah Empat Kali Jalani Pembedahan Reviewed by Tular Lagi on 8:37 PM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.