Allahu...Sedih Baca " Kisah Nasi Kandar Terakhir Bersama Pie"
TELUK BAHANG - Terpandang wajahnya sahaja sudah cukup membuatkan orang di sekelilingnya ketawa. Itulah penangan Pie yang cukup terkenal melalui lakonan bersahajanya, terutama Filem Mami Jarum kira-kira 14 tahun lalu.
Kini, wajah selamba itu tidak lagi dapat dilihat kerana pelawak veteran, Sahfiee Jaafar, 85, atau lebih mesra dipanggil Pie atau Pak Pie sudahpun kembali ke rahmatullah.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Bahang, di sini, selepas solat Jumaat semalam.
Terdahulu jenazah Allahyarham dimandikan dan dikafankan dari rumahnya sebelum dibawa ke Masjid Teluk Bahang.
Kira-kira 300 ahli keluarga, saudara mara, peminat dan rakan artis hadir bagi menziarahi jenazah Allahyarham di kediamannya di sini.
Arwah menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 9 malam semalam, di rumah anaknya di Flat Jalan Hassan Abbas, dipercayai akibat sakit tua.
Bukan kerana glamor
Masih teringat kenangan penulis bertemu arwah pada September 2015, walaupun badannya sudah mula sakit-sakit namun daya ingatan serta penglihatan masih tajam.
Menurut sahabat baik beliau, Omar Hashim atau lebih dikenali sebagai Omara, antara kata-kata yang masih diingati, beliau terjun ke bidang lakonan, nyanyian dan juga boria bukan kerana inginkan glamor ataupun wang ringgit yang banyak.
Omara antara sahabat baik yang banyak membantu pelawak lagenda itu menghasilkan Album Hijau Kuningnya dan menguruskan beberapa persembahan boria Pie.
“Kenangan terakhir bersama beliau ialah kami berkesempatan menikmati nasi kandar di Deen Nasi Kandar Jelutong.
“Masa itulah arwah melahirkan rasa terharunya kerana kami tetap bawanya keluar bersiar-siar,” katanya.
Bagi Omara yang juga aktivis boria Pulau Pinang berkata, kehilangan Pie adalah sesuatu yang tidak boleh diganti.
“Siapa yang boleh ganti beliau? Dia antara pelopor boria yang begitu gigih membangunkan warisan tradisi ini.
“Walaupun sudah menginjak ke usia tua, dia tetap mengikuti perkembangan boria,” katanya.
Tenang semasa hayat
Walaupun pernah berada pada tahap kegemilangannya tersendiri, namun masih ada kisah duka yang dilalui arwah.
Cerita Omara, Pie pernah meluahkan rasa terkilan apabila ada segelintir rakan artis yang tidak lagi mahu mendekatinya setelah beliau menganjak ke usia emas.
“Katanya, dia pernah menghubungi rakannya di Kuala Lumpur, tetapi kecewa kerana akhirnya dia tidak dipedulikan, Pie sendiri kata dia sedih kerana rakan yang pernah dibantunya itu tidak mempedulikannya lagi, hakikatnya dia bukan meminta sedekah.
“Begitulah lumrah dunia, namun arwah melalui kehidupannya dengan tenang, dan tidak pernah meluahkan rasa marah itu secara terbuka, dirinya pula sering dikata tidak sedar diri, betapa bernilainya permata seni yang kita ada ini,” katanya.
Arwah disenangi ramai
Sementara itu, salah seorang peminatnya, Sharifah Juairiah Syed Jamal berkata, arwah seorang yang kelihatan serius dari raut wajahnya.
“Tetapi bila dia buka saja mulut, saya terus akan ketawa, apa saja yang dibuatnya akan buat saya ketawa.
“Begitu kuat personalitinya, dan beliau adalah seorang yang langsung tidak lokek dengan ilmu,” katanya.
Antara kisah paling diingati Sharifah, ketika dia bekerja di Celcom Pulau Pinang suatu ketika dahulu.
“Masa itu Pak Pie bekerja sebagai despatch dan dia selalu akan datang ke kaunter saya, walaupun dia belum buka mulut, memang ramai kakitangan akan tergelak, apatah lagi kalau dia buka mulut,” katanya.
Sharifah juga pernah berlakon bersamanya dalam Drama Dalca Mami Georgetown.
Menurutnya, arwah seorang yang tenang dan santai, malah senang dibawa untuk berbual.
“Kalau dia beri ilmu, memang bagus, bagi kami yang bergiat dengan arwah sebelum ini, kehilangannya tiada ganti,” katanya.
Pie juga pernah dinobatkan sebagai Tokoh Seni Budaya Pulau Pinang 2015.
Tuanku ketawa melihat Pie
Ketika bertemu arwah tahun lalu, beliau menceritakan pada penulis antara kenangan yang diingatinya ialah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sendiri ketawa melihatnya, sedangkan dia pada masa itu hanya melangkah keluar untuk membuat persembahan.
“Masa itu saya dan arwah Maidin (Ibrahim), buat show di Kedah, baru saja berjalan, kami nampak Tuanku (Abdul Halim) sudah tergelak,” katanya.
Malah, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah mengatakan, ‘Pie bukan buat lawak, dia loyar buruk’.
Berasal dari Alor Setar, Kedah, beliau pada awalnya berhijrah ke Pulau Pinang bekerja sebagai ejen perkapalan di sekitar Pengkalan Weld.
Sehinggalah kemudiannya beliau menemui jodoh di Pulau Pinang dan terus menetap di sini.
Mempunyai bakat melawak serta menyanyi secara semula jadi dalam dirinya membolehkan Pie menyertai boria yang juga salah satu seni persembahan paling popular di Pulau Pinang pada masa itu.
Tidak dinafikan, Pie adalah lagenda Boria Sungai Pinang dan pernah muncul di kaca televisyen serta beberapa kali dinobatkan sebagai juara pertandingan Dendang Rakyat RTM (Radio Televisyen Malaysia).
Ada bakat menyanyi
Bakatnya mula disedari Omara yang juga Pemilik Omara Production sehingga menyunting tokoh boria itu sebagai penyanyi.
Pie bersama penyanyi, Allahyarham Shariff Awang atau lebih dikenali M Shariff dan Allahyarham Maidin yang juga pelakon dan pelawak bergabung di dalam satu album yang dipanggil Hijau Kuning pada 1991.
Omara berkata, jualan album berkenaan begitu menggalakkan dan tidak dinafikan pada waktu itu adalah zaman kegemilangan Pie.
“Saya sendiri yang menguruskan album ini memang tak sangka kami dapat sokongan padu terutamanya daripada penduduk utara tanah air.
“Paling diingati ketika kami buat persembahan di Perlis, mereka disambut seperti selebriti luar negara, itu saat manis buat Pie,” katanya.
Mempunyai tiga album antara lagu popularnya, Boria Skim Cepat Kaya, Terkenang Masa Lalu dan Hijau Kuning kemudiannya membolehkan Pie melangkah dunia lakonan.
Terus berlakon sehingga 2011, Piee yang pernah dimasukkan beberapa kali ke hospital sebelum ini tekad berhenti sepenuhnya daripada mengambil sebarang tawaran berlakon untuk drama mahupun filem. -SUMBER
Allahu...Sedih Baca " Kisah Nasi Kandar Terakhir Bersama Pie"
Reviewed by Tular Lagi
on
12:08 PM
Rating:
No comments: