Jika MH370 Menjunam 20,000 Kaki Seminit Sudah Tentu Berkecai -Prof
KUALA LUMPUR: Pensyarah aeroangkasa dan bekas juruterbang mempertikai laporan berita pesawat MH370 menjunam ke laut pada kelajuan amat tinggi, iaitu sehingga 20,000 kaki seminit memandangkan tiada serpihan ditemui pasukan mencari.
Juruterbang Ujian Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata, jika pesawat itu menjunam ke dalam laut pada kelajuan itu, ia sudah tentu berkecai.
Katanya, perkara itu tidak mungkin berlaku kerana tiada sebarang kesan letupan dijumpai semasa operasi mencari dan menyelamat.
Beliau berkata, teori itu tidak dapat diterima kerana tiada langsung serpihan besar atau fiuslaj dijumpai anggota pasukan mencari sejak operasi pencarian MH370 dilancarkan 888 hari lalu.
“Pelik…kami sepatutnya menjumpai sekurang-kurangnya serpihan kecil atau besar atau malah sebahagian daripada fiuslajnya, jika teori itu betul…tapi, tiada satu pun yang dijumpai…mungkin MH370 kehabisan bahan bakar, maka tidak berlaku letupan,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menolak teori pesawat itu menjunam pada kelajuan tinggi.
“Kami hanya boleh menerima data itu dan membuat penyelidikan serta andaian untuk memecahkan kebuntuan, selain mencari serpihannya. Itulah objektif utama kami,” katanya kepada Bernama hari ini.
Semalam, saintis pertahanan Australia yang menganalisis isyarat MH370 mendedahkan pesawat jenis Boeing 777 itu jatuh pada kelajuan tinggi sebelum terhempas ke dalam Lautan Hindi di luar pantai Australia Barat.
Hasil daripada analisis yang dibuat terhadap data dan simulasi pengeluar pesawat itu menunjukkan MH370 mungkin kehilangan kuasa enjinnya sebelum jatuh pada kelajuan sehingga 20,000 kaki seminit pada 8 Mac 2014.
Ditanya kemungkinan pesawat itu terhempas pada kelajuan tinggi di kawasan pencariannya, bekas juruterbang, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Mohd Haniff berkata, kapal dan pesawat yang terlibat dengan operasi mencari tidak menemui sebarang serpihan luar biasa.
“Alat Pemancar Lokasi Kecemasan (ELT) yang dicipta untuk berfungsi apabila berlaku sesuatu nahas, tidak menghantar sebarang mesej. ELT tentu akan hidup sekiranya MH370 menjunam dengan kelajuan 20,000 kaki seminit. Dalam kes ini, itu tidak berlaku.
“Sebab itulah saya masih berpegang kepada teori ada seseorang yang mengawal pesawat itu untuk melayang dan mendarat dengan lancar, menanggalkan ‘cowling’ enjin, flaperon dan sebagainya. Sesebuah pesawat akan berkecai apabila berada 6km di dalam air disebabkan aktiviti seismik dan arus lautan.
“Maka, mayat dan kerusi terapung di merata tempat. Tetapi, setakat ini, itu tidak berlaku,” kata bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu.
Sementara itu, pensyarah Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Kamarul Arifin Ahmad berkata, serpihan pesawat itu tentu berselerak dan terapung, sekiranya ia menjunam ke dalam laut pada kelajuan tinggi.
Kata beliau, memandangkan tiada serpihan besar ditemui di kawasan mencari, maka pegawai patut mencari penyelesaian lain atau alternatif untuk mengesan kotak hitam yang akhirnya boleh merungkai misteri ini.
Sementara itu, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) dalam laporan mingguannnya berkata, kapal pencari, Fugro Discovery akan beredar dari kawasan mencari untuk kali terakhir pada 11 Ogos ini dan singgah di Singapura untuk membuat persiapan bagi menjalankan projek seterusnya yang tiada kaitan dengan MH370.
ATSB berkata, pelan pencarian menetapkan kawasan pencarian selebihnya akan diliputi dengan menggunakan kapal lain dan setakat ini ia meliputi lebih 110,000 kilometer persegi kawasan dasar laut.
Malaysia, China dan Australia akan menggantung, tetapi bukan menghentikan usaha mencari MH370, apabila pencarian selesai dilakukan di kawasan keutamaan seluas 120,000 kilometer persegi.
Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada pengesanan radar sejurus berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada 8 Mac 2014.
Pesawat itu belum ditemui walaupun operasi mencari besar-besaran dilakukan di selatan Lautan Hindi, lokasi dipercayai penerbangan itu berakhir selepas melencong daripada laluan asalnya.
Jika MH370 Menjunam 20,000 Kaki Seminit Sudah Tentu Berkecai -Prof
Reviewed by Tular Lagi
on
7:37 PM
Rating:
No comments: