SOLAT DHUHA DAN PANDUAN MENGERJAKANNYA
Dhuha menurut ahli fekah adalah waktu di antara ketika matahari mulai naik sehingga ketika matahari mulai condong. Oleh itu solat Dhuha adalah solat sunat yang dikerjakan pada waktu tersebut.
v HUKUM SOLAT DHUHA
Pandangan para ulamak tentang hukum mengerjakan solat Dhuha adalah seperti berikut:
1. Sunat secara mutlak dan dikerjakan setiap hari
2. Sunat namun tidak didirikan setiap hari secara berterusan.
3. Tidak disunatkan.
4. Ianya disunatkan kerana faktor tertentu seperti bagi mereka yang tertinggal mengerjakan solat Qiyam al-Lail maka digantikan solat tersebut dengan mengerjakan solat pada waktu dhuha.
Pendapat yang paling tepat serta dipegang oleh jumhur ulamak adalah solat Dhuha termasuk amal sunatmu’akkadah dan dianjurkan untuk diamalkan secara rutin. Ini adalah kerana Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallamselalu
mengerjakannya, menganjurkan para sahabat untuk mengerjakannya malah
baginda pernah mewasiatkan perlaksanaannya kepada beberapa sahabat.
Daripada Abu Hurairah radhiallahu’ anh, dia berkata:
أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ
صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَيْ الضُّحَى وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَام.َ
Maksudnya:
Kekasihku shallallahu ‘alaihi wasallam telah mewasiatkan kepadaku
tiga perkara yang tidak akan pernah aku tinggalkan sehingga akhir
hayatku; berpuasa tiga hari setiap bulan (hijrah), mengerjakan dua
rakaat solat Dhuha dan mengerjakan solat Witir sebelum tidur – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Shaum, no: 1981.
Walaupun wasiat ini ditujukan kepada seorang sahabat tetapi anjuran tersebut merangkumi untuk seluruh umat Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam kecuali
sekiranya terdapat lafaz yang menunjukkan ianya sememangnya khusus
untuk sahabat tersebut. Ternyata lafaz tersebut berbentuk umum apatah
lagi baginda juga pernah mewasiatkan perkara yang sama kepada Abu Darda’radhiallahu’ anh, dia berkata:
أَوْصَانِي حَبِيبِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ لَنْ أَدَعَهُنَّ مَا عِشْتُ
بِصِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَصَلاَةِ الضُّحَى وَبِأَنْ لاَ أَنَامَ حَتَّى أُوتِرَ.
Maksudnya:
Kekasihku shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mewasiatkan kepadaku
tiga perkara yang tidak akan pernah aku tinggalkan sehingga akhir
hayatku; berpuasa tiga hari setiap bulan (hijrah), mengerjakan solat
Dhuha dan tidak tidur sebelum mengerjakan solat Witir. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, KitabSholaatul Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 722.
KEUTAMAAN MENGERJAKAN SOLAT DHUHA
Ianya Amalan Berbentuk Sedekah
Bagi setiap anggota sendi serta ruas-ruas tulang perlu mengeluarkan sedekah bagi menunjukkan ketaatan kita kepada AllahSubhanahu wa Ta’ala. Justeru itu solat Dhuha adalah amalan yang dapat menunaikan tanggung jawab tersebut. Daripada Abu Dzarr radhiallahu’ anh, daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:
يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلاَمَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ
وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْيٌ عَنْ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ
وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنْ الضُّحَى.
Maksudnya:
Bagi tiap-tiap ruas dari anggota tubuh salah seorang di antara
kalian harus dikeluarkan sedekahnya setiap pagi hari. Setiap tasbih
(Subhaanallah) adalah sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) adalah
sedekah, setiap tahlil (Laa Ilaaha Illallah) adalah sedekah, setiap
takbir (Allahu Akbar) adalah sedekah, menyuruh untuk berbuat baik juga
sedekah, dan mencegah kemungkaran juga sedekah. Dan semua itu boleh
diganti dengan dua rakaat solat Dhuha. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruha, no: 720.
Allah Memberi Rezeki Yang Cukup Sepanjang Siang Hari
Bagi mereka yang mengerjakan solat Dhuha Allah Subhanahu wa Ta’ala sentiasa
mencukupkan segala keperluan seseorang sepanjang siang hari. Daripada
Nu’aim bin Hammar, dia berkata: Saya pernah mendengar Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam bersabda Allah Azza Wa Jalla berfirman:
يَا ابْنَ آدَمَ لاَ تُعْجِزْنِي مِنْ أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ فِي أَوَّلِ نَهَارِكَ أَكْفِكَ آخِرَهُ.
Maksudnya:
Wahai anak Adam, janganlah engkau sampai tertinggal untuk
mengerjakan solat empat rakaat pada permulaan siang (waktu Dhuha),
nescaya Aku akan memberi kecukupan kepadamu sampai akhir siang. – Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 1097.
q Mendapat Pahala Sebagaimana Mengerjakan Haji Dan Umrah
Bagi mereka yang mengerjakan solat Subuh secara berjemaah lalu tetap
berada dalam masjid dengan berzikir kepada Allah dan mengerjakan solat Dhuha pada awal terbitnya matahari maka dia mendapat pahala seperti mengerjakan haji dan umrah. Daripada Anas radhiallahu’ anh, dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ
ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ.
Maksudnya:
Barangsiapa mengerjakan solat Subuh secara berjemaah lalu sesudah
itu dia tetap duduk (di masjid) untuk berzikir kepada Allah sehingga
matahari terbit (dan meninggi), kemudian solat (Dhuha) dua rakaat maka
dia akan mendapat pahala sebagaimana pahala haji dan umrah. Dia berkata
(Anas), Rasulullah bersabda: Yang sempurna, Yang Sempurna, Yang
Sempurna. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Jumu’ah,no: 535.
Ia Solat Bagi Orang Yang Bertaubat
Solat Dhuha adalah termasuk bagi solat untuk orang-orang yang bertaubat (Sholat Awwabin). Daripada Zaid bin Arqam bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju tempat Ahli Quba’ yang ketika itu mereka sedang mengerjakan solat Dhuha. Baginda lalu bersabda:
صَلاَةُ الأَوَّابِينَ حِينَ تَرْمَضُ الْفِصَالُ.
Maksudnya:
Solat Awwabin (orang-orang yang taubat) dilakukan pada saat teriknya matahari. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 748.
TATACARA PERLAKSANAAN SOLAT DHUHA
Waktu Mengerjakan Solat Dhuha
Waktu untuk mengerjakan solat Dhuha adalah sewaktu matahari mulai
naik iaitu sebaik sahaja berakhirnya waktu yang diharamkan solat
setelah solat Subuh (12 minit setelah matahari terbit atau untuk lebih
berhati-hati laksanakannya setelah 15 minit) sehingga sebelum matahari
condong atau tergelincir ketika tengahari (10 minit sebelum masuk waktu
Zuhur atau untuk lebih berhati-hati laksanakannya sebelum 15 minit).
Menurut Syaikh al-‘Utsaimin di dalam Asy-Syarhul Mumti’:
Jika demikian, waktu solat Dhuha dimulai setelah keluar dari waktu
larangan solat pada awal siang hari (pagi hari) sampai adanya larangan
saat tengah hari.
Namun demikian waktu yang afdal adalah pada saat matahari panas terik.
Demikian adalah dalil-dalil tentang waktu mengerjakan solat Dhuha:
Daripada Anas radhiallahu’ anh, dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ
ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ.
Maksudnya:
Barangsiapa mengerjakan solat Subuh secara berjemaah lalu sesudah
itu dia tetap duduk (di masjid) untuk berzikir kepada Allah sehingga
matahari terbit (dan meninggi), kemudian solat (Dhuha) dua rakaat…– Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Jumu’ah, no: 535.
Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
صَلاَةُ الأَوَّابِينَ حِينَ تَرْمَضُ الْفِصَالُ.
Maksudnya:
Solat Awwabin (orang-orang yang taubat) dilakukan pada saat teriknya matahari. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruha, no: 748.
Jumlah Rakaat Solat Dhuha
Jumlah rakaat solat Dhuha paling minimal adalah dua rakaat dan ia
boleh dikerjakan tanpa batasan jumlah rakaat yang tertentu. Sebelum ini
penulis telah memaparkan hadis-hadis berkaitan solat Dhuha yang
dilaksanakan dengan dua dan empat rakaat. Berikut adalah dalil yang
menunjukkan ianya juga boleh dikerjakan dengan sebanyak enam, lapan dan
dua belas rakaat.
Daripada Anas bin Malik radhiallahu’ anh bahawasanya Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengerjakan solat Dhuha sebanyak
enam rakaat – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam kitab al-Syamaail, Bab Sholat al-Dhuha, no: 273.
أُمِّ هَانِئٍ فَإِنَّهَا قَالَتْ إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ بَيْتَهَا يَوْمَ فَتْحِ مَكَّةَ
فَاغْتَسَلَ وَصَلَّى ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ.
Maksudnya:
Daripada Ummu Hani’, dia berkata: Pada masa pembebasan kota
Makkah, dia bertemu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika
baginda berada di atas tempat tertinggi di Makkah. Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam beranjak menuju tempat mandinya lalu
Fathimah memasang tabir untuk baginda. Selanjutnya Fathimah mengambilkan
kain dan menyelimutkannnya kepada baginda. Setelah itu baginda
mengerjakan solat Dhuha sebanyak lapan rakaat – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalamShahihnya, Kitab al-Tahajjud, no: 1176.
Di dalam Fathul Baari al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah telah membawa sebuah riwayat seperti dibawah:
وَعِنْد اَلطَّبَرَانِيّ مِنْ حَدِيثِ أَبِي اَلدَّرْدَاءِ مَرْفُوعًا مَنْ
صَلَّى اَلضُّحَى رَكْعَتَيْنِ لَمْ يُكْتَبْ مِنْ اَلْغَافِلِينَ ,
وَمَنْ صَلَّى أَرْبَعًا كُتِبَ مِنْ اَلتَّائِبِينَ , وَمَنْ صَلَّى سِتًّا كُفِيَ ذَلِكَ اَلْيَوْمَ ,
وَمَنْ صَلَّى ثَمَانِيًا كُتِبَ مِنْ اَلْعَابِدِينَ , وَمَنْ صَلَّى ثِنْتَيْ عَشْرَة بَنَى اَللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي اَلْجَنَّةِ
Maksudnya:
Dalam riwayat al-Thabarani daripada hadis Abu Darda’ secara marfu’
disebutkan: Barangsiapa solat Dhuha dua rakaat, maka tidak ditulis
sebagai orang-orang lalai, barangsiapa solat Dhuha empat rakaat maka
ditulis sebagai orang-orang yang bertaubat, barangsiapa solat Dhuha enam
rakaat, maka dicukupkan untuknya pada hari itu, barangsiapa solat Dhuha
lapan rakaat, maka ditulis dalam golongan ahli Ibadah, dan barangsiapa
solat Dhuha dua belas rakaat maka dibangunkan untuknya rumah di syurga. – rujuk Fathul Baari, jilid 6, ms. 349 ketika al-Hafidz mensyarah hadis Shahih al-Bukhari no:
1176. Namun status hadis ini diperselisihkan olah para ulamak hadis.
Musa bin Ya’qub al-Zami’i yang terdapat dalam sanad hadis ini telah didha’ifkan oleh Ibnu al-Madini namun dinilaitsiqah pula
oleh Ibnu Ma’in dan Ibnu Hibban. Al-Hafidz sendiri berkata sanad hadis
ini lemah namun diperkuatkan oleh hadis Abu Dzar yang diriwayatkan oleh
al-Bazzar hanya sahaja sanadnya juga lemah dan apa yang lebih tepat
hadis inidha’if. Wallahu’alam.
Berkaitan dengan dalil yang menunjukkan jumlah rakaat solat Dhuha ini tidak ada batasan yang tertentu adalah:
مُعَاذَةُ أَنَّهَا سَأَلَتْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا:
كَمْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي صَلاَةَ الضُّحَى؟
قَالَتْ: أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ وَيَزِيدُ مَا شَاءَ.
Maksudnya:
Daripada Mu’adzah, dia berkata: Aku bertanya kepada ‘Aisyah:
Berapa rakaat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan solat
Dhuha?
Dia menjawab: Sebanyak empat rakaat lalu baginda menambahnya lagi menurut yang dia kehendaki. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 719.
Ringkasan Tatacara Mengerjakan Solat Dhuha
Rakaat Pertama
1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Dhuha
2) Takbiratul Ihram
3) Doa Iftitah
4) Membaca surah al-Fatihah
5) Membaca Surah al-Qur’an
6) Rukuk
7) Iktidal
8) Sujud
9) Duduk antara dua sujud
10) Sujud kali kedua
11) Bangun untuk rakaat kedua
Rakaat Kedua
1) Ulang seperti rakaat pada pertama dari nombor (4) hingga (10)
2) Duduk untuk tahiyyat akhir
3) Memberi salam ke kanan dan ke kiri
Kelebihan Sembahyang Dhuha
Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman:
“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.”(Riwayat Ahmad)
Hadis Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha yang mana
antara faedahnya, Allah Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan segala
keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari.
Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah SAW
sendiri ialah solat sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya
dan menyatakan keutamaannya, antaranya dalam riwayat Abu Hurairah
katanya:
“Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku
tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah
mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat
Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada
tiap-tiap bulan”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :
“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang
kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu
sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai
ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha
.”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab
“An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha
menarik rezeki dan menolak kepapaan.”
Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :
“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah
baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.”(Riwayat
Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar
Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat
Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai
daripada emas”(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)
Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai se-penggalah dan
berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan
sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.
Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat
yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat
rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah
rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah
rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh
‘Aisyah bermaksud :”Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan
menambahnya seberapa yang dikehedakinya.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim
dan Ibnu Majah)
Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda bermaksud : ” Barangsiapa
yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak
ditulis dia daripada orang-orang yang lalai daripada mengingati Allah
dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan
dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang
menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari
tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis
baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang
menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya
mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan
Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah
tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih
baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” (Riwayat
At-Thabarani ).
(Sumber: http://www.islam2u.net)
SOLAT DHUHA DAN PANDUAN MENGERJAKANNYA
Reviewed by Tular Lagi
on
10:30 AM
Rating:
No comments: