Like us for get Notifications

Rumah perlindungan untuk gelandangan di Lorong Haji Taib



KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam perancangan membeli empat rumah kedai di Lorong Haji Taib untuk dijadikan rumah perlindungan untuk gelandangan di ibu negara, sebagai tambahan kepada Anjung Singgah yang disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, lapor Bernama.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata rumah perlindungan yang akan dibangunkan dengan selesa itu dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

“Kita akan beli empat rumah kedai empat tingkat di Lorong Haji Taib untuk diubah suai (menjadi rumah perlindungan),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan wang tunai dan keperluan asas kepada 500 penerima termasuk fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas di Kuala Lumpur, semalam.

Kenyataan Tengku Adnan ini dibuat ketika beliau dikritik hebat berikutan kenyataannya sebelum ini yang mengugut untuk mengambil tindakan kepada pemberi dan penerima bantuan pengemis di ibu negara kerana ia mengotorkan ibu negara.

Lorong Haji Taib terkenal sebagai pusat kegiatan pelacuran kelas rendah dan aktiviti tidak sihat termasuk samseng dan penagihan dadah di ibu negara.

Kawasan ini juga menjadi tempat gelandangan berehat dan tidur di belakang dan kaki lima bangunan. Sebahagian mereka adalah penagih dadah selain keluarga khasnya kanak-kanak yang terbiar.

Sebelum ini, sebuah persatuan kebajikan membina pusat kegiatan dan pendidikan percuma untuk kanak-kanak yang terbiar di sini.

Kawasan ini juga menjadi salah satu pusat aktiviti dapur jalanan (soup kitchen) menjalankan aktiviti mereka memberikan makanan percuma.

Soup kitchen

Sementara itu, mengulas pertemuan dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan soup kitchen Selasa ini, Tengku Adnan berkata ia akan menjernihkan salah faham berkaitan kenyataan beliau sebelum ini selain membincangkan lokasi lebih sesuai untuk mereka meneruskan aktiviti amal.

“Saya mengalu-alukan mereka membantu kita memberi makanan kepada gelandangan malah saya sampai sekarang pun ada memberi sumbangan dalam bentuk beras kepada soup kitchen di Jalan Imbi.

“Jadi kita akan bincang dengan mereka bersama DBKL bagaimana untuk selesaikan masalah ini secara baik kerana kita juga hendak memastikan gelandangan ini terbela,” katanya.

Khamis lalu, Tengku Adnan berkata Soup Kitchen tidak lagi dibenar beroperasi dalam lingkungan 2 kilometer dari pusat beli-belah terkemuka Lot 10 di Jalan Bukit Bintang, yang meliputi sebahagian besar pusat bandar, berkuatkuasa serta-merta.

Beliau berkata, langkah itu adalah usaha kerajaan membersihkan ibu kota daripada golongan peminta sedekah serta gelandangan dan aktiviti soup kitchen yang memberi makanan kepada mereka, mencemarkan imej bandar raya, terutama daripada segi kebersihan.


Kata-kata hikmah dan kisah kosong kosong selebriti yang pasti menyentuh hati anda [ klik sini ]

Rumah perlindungan untuk gelandangan di Lorong Haji Taib Rumah perlindungan untuk gelandangan di Lorong Haji Taib Reviewed by Tular Lagi on 1:11 PM Rating: 5

1 comment:

Powered by Blogger.