Like us for get Notifications

Terpikat dengan Luna Maya

AC Mizal dan Luna Maya seia sekata dalam mengembangkan kerjaya.

IMEJ seorang penyanyi rap yang melekat dalam identiti Datuk AC Mizal, 42 atau AC ketika bersama kumpulan 4U2C dahulu masih segar di ingatan terutama bagi mereka yang membesar pada era 90-an.

Kini, selepas hampir 20 tahun, AC yang mencipta populariti dalam bidang pengacaraan menyatakan hasratnya untuk kembali fokus menyanyi setelah mengecapi kepuasan menjadi seorang hos yang berjaya, juga sebagai seorang pelakon berkaliber.

Mula menjejakkan semula kaki ke lapangan muzik menerusi single Apo Kono Eh Jang bersmaa Rafidah Ibrahum serta bergandingan dengan Mawi dalam lagu Al-Haq... Yang Satu, ia merupakan simbolik perkenalan daripadanya kepada peminat-peminat yang menanti kehadirannya.

Dan sejak itu, AC dilihat semakin serius merencanakan langkah seterusnya apabila membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Sony Music Malaysia (Sony Music) untuk menghasilkan lagu-lagu duet bersama 12 penyanyi berbeza.

Ekoran jalinan kerjasama yang dilakukan oleh kedua-dua pihak itu, pada tanggal 17 September lalu, ia menjadi titik tolak buat AC mengembalikan kegemilangan dunia rapnya apabila telah melancarkan single pertama bersama Sony Music berjudul Paranoid.

Bercakap mengenai single tersebut, ia adalah sesuatu yang amat menarik apabila AC memilih aktres terkenal Indonesia, Luna Maya menjadi rakan duetnya menerusi karya yang dicipta sepenuhnya oleh anggota kumpulan A To Z iaitu Jeff.

Personaliti Luna

jadi tarikan

Mengulas lanjut mengenai pemilihan Maya, suami kepada Datin Emylia Rosnaida itu menjelaskan bahawa dia mencari seseorang yang bukannya daripada kalangan penyanyi, tetapi boleh menyanyi dengan baik untuk menjadi gandingannya.

Disebabkan faktor itu, personaliti yang terdapat dalam diri Luna berjaya menarik perhatiannya sejak mula berkenalan secara rapat ketika menjayakan program realiti Maharaja Lawak Mega 2013 (MLM2013) yang lalu.

“Sebelum MLM2013 bermula, idea untuk berkolaborasi ini telah tercetus memandangkan Luna mempunyai auranya yang tersendiri sebagai seorang personaliti.

“Walaupun dia pernah merakamkan lagu sebelum ini, Luna lebih dikenali sebagai pelakon dalam dunia Sinetron di Indonesia. Popularitinya itu menarik minat saya untuk menjalinkan kerjasama ini selain ia adalah peluang untuk menembusi pasaran Asia bermula dengan negara jiran.

Saya percaya, kerjasama ini (antara Sony Music dan Luna) adalah sesuatu yang besar dan akan memberikan impak yang baik terhadap permulaan saya untuk bergelar penyanyi semula.

“Begitu juga dengan lagu yang dihasilkan Jeff, ia mendapat perhatian seorang DJ di Sweden yang berminat mahu memberikan sentuhannya dengan melakukan sedikit perubahan terhadap melodinya agar tampak lebih rancak dan segar," katanya kepada pihak media pada majlis pelancaran Paranoid di ibu kota, baru-baru ini.


Terpikat dengan Luna Maya Terpikat dengan Luna Maya Reviewed by Mad Pikghie on 10:59 AM Rating: 5
Powered by Blogger.