Like us for get Notifications

Dia memberitahu: “Aku telah membunuh seramai sembilan puluh sembilan orang manusia, adakah taubatku masih diterima?

TAUBAT.
Setiap yang bergelar manusia pasti pernah melakukan kesilapan dan adalah menjadi tugas kita supaya selalu bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT. Bercerita tentang taubat ini, terdapat sebuah kisah mengenai seorang lelaki daripada kalangan umat terdahulu yang telah membunuh seramai 99 (sembilan puluh sembilan) orang manusia.

Daripada Abu Said al-Khudri r.a., bahawa Nabiyullah SAW bersabda:

“Sebelum zaman kamu ini, pernah ada seorang lelaki yang telah membunuh seramai 99 (sembilan puluh Sembilan) orang manusia, kemudian dia bertanyakan mengenai perkara itu kepada seorang yang paling alim pada zaman itu. Selepas ditunjukkan kepadanya seorang rahib (pendeta). Dia pun berjumpa rahib tersebut.

Dia memberitahu: “Aku telah membunuh seramai sembilan puluh sembilan orang manusia, adakah taubatku masih diterima?”

Rahib tersebut menjawab: “Tidak!”

Mendengar jawapan itu, dia tidak puas hati, terus naik marah lalu membunuh rahib tersebut dan genaplah jumlah seratus orang manusia yang telah dibunuhnya.

Namun niatnya ingin bertaubat tetap teguh. Tanpa putus asa dia mencari lagi seseorang yang paling alim pada zaman itu. Kemudian lalu ditunjukkan kepadanya seorang yang alim, dia terus berjumpa orang alim tersebut dan berkata: “Aku telah membunuh seramai seratus orang manusia. Adakah taubatku masih diterima?”

Orang alim tersebut menjawab: “Ya! Siapakah yang menghalang seseorang dari bertaubat?”

“Sekarang, pergilah kamu ke tempat ini dan ini, kerana di sana terdapat ramai orang yang beribadah kepada Allah. Kamu beribadatlah kepada Allah bersama mereka dan jangan pulang ke tempat kamu kerana tempatmu itu adalah tempat yang teruk.”sambung orang alim itu lagi.

Lelaki tersebut beredar menuju ke tempat yang dinyatakan. Ketika berada di pertengahan jalan, tiba-tiba maut datang menjemputnya dan dia pun meninggal dunia.

Melihat kejadian itu, menyebabkan Malaikat pembawa rahmat dan Malaikat Azab (malaikat yang ditugaskan menyeksa) bertelingkah mengenainya.

Malaikat Rahmat berkata: “Dia datang dalam keadaan sudah bertaubat dan menghadapkan hatinya secara ikhlas kepada Allah.”

Manakala Malaikat Azab pula berkata: “Benar, namun dia tidak pernah melakukan kebaikan.”

Lalu datanglah malaikat lain yang menyerupakan dirinya dalam bentuk manusia. Lalu dia menjadikan dirinya sebagai pemisah antara malaikat-malaikat yang berselisih tadi, iaitu dijadikan hakim pemutusnya untuk mengadili pertengkaran mereka dan untuk menetapkan mana yang betul.

Malaikat itu berkata, “Kalau begitu, ukurlah jarak kamu. Jarak di antara dua tempat, dari sini ke tempat yang ditinggalkan lelaki ini dan ke tempat yang hendak ditujunya; ke tempat mana yang lebih dekat, bererti dialah yang berhak ke atas orang ini.”

Kedua-dua malaikat tersebut lalu sama-sama mengukur dan setelah di ukur, ternyata mereka dapati kedudukan mayat lelaki tersebut lebih hampir dengan tempat tujuannya untuk melaksanakan taubat iaitu tempat yang dihuni oleh orang-orang soleh, beerti ia termasuk di kalangan mereka. Maka akhirnya, lelaki tersebut berhak diambil oleh Malaikat Rahmat.” 
(Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)
.
.
Dalam sebuah riwayat yang sahih lain disebutkan: “Orang tersebut lebih dekat hanya sejengkal saja pada kawasan yang baik itu, iaitu yang hendak didatangi, maka dijadikanlah dia termasuk golongan penduduknya.”
Sebuah riwayat dalam kitab sahih juga menyebut;
 “Allah Ta’ala lalu mewahyukan kepada tanah yang ini (tempat asalnya) supaya engkau menjauhinya dan kepada tanah yang ini (tempat yang hendak dituju) supaya engkau mendekatinya (maksudnya supaya tanah asalnya itu memanjang sehingga kalau diukur akan menjadi jauh, sementara tanah yang dituju itu menyusut sehingga kalau diukur menjadi dekat jaraknya).” Kemudian firmanNya: “Ukurlah antara keduanya.”Malaikat-malaikat itu mendapatkannya bahawa kepada yang ini (yang dituju) adalah lebih dekat hanya sejengkal saja jaraknya. Maka orang itupun diampunilah dosa-dosanya.”

Dalam riwayat lain lagi disebutkan: “Orang tersebut bergerak (amat susah payah kerana hendak mati) dengan dadanya ke arah tempat yang dituju itu.”
.
.
Keterangan:
Huraian hadis ini menjelaskan mengenai betapa pentingnya memiliki ilmu pengetahuan dalam selok-belok agama, apabila dibandingkan dengan terus beribadah atau menghukum tanpa mengetahui bagaimana yang sepatutnya dilakukan. Juga menjelaskan keutamaan ‘uzlah atau mengasingkan diri dalam keadaan masyarakat yang boleh dikatakan rosak binasa dan kemaksiatan serta kemungkaran muncul di mana-mana, hatta dalam keluarga sendiri pun.

Tidak diragukan lagi bahawa pintu taubat sentiasa terbuka kepada sesiapa saja yang ingin bertaubat selagi masih belum tiba kiamat. Tidak kira sebesar mana dosa kita, walaupun telah ramai orang yang menjadi mangsa; Seperti taubat pembunuh, jika dia benar-benar ikhlas bertaubat kepada Allah dengan ‘Taubat Nasuha’, taubatnya tetap akan diterima.

“Sesiapa yang bertaubat kepada Allah sebelum matahari terbit dari arah barat, nescaya Allah akan menerima taubatnya.”   (Hadis Riwayat Muslim)


Thabit bin Qurrah berkata: “Kerehatan badan bergantung kepada kurangnya makan. Kerehatan jiwa bergantung kepada kurangnya melakukan dosa. Kerehatan lidah bergantung kepada kurangnya bercakap. Dosa bagi hati umpama racun bagi badan.”
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

sumber : shafiqolbu.wordpress.com
Dia memberitahu: “Aku telah membunuh seramai sembilan puluh sembilan orang manusia, adakah taubatku masih diterima? Dia memberitahu: “Aku telah membunuh seramai sembilan puluh sembilan orang manusia, adakah taubatku masih diterima? Reviewed by Tular Lagi on 12:54 PM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.